AMPANG: Dengan sekali lafaz, penyanyi dan pelakon, Meyanaliza Ruslee (Maya), 33, sah bergelar isteri kepada jejaka pujaan, Tengku Shahreza Tengku Abdul Aziz, 38.
Pasangan itu melangsungkan pernikahan di Masjid Taman Tun Abdul Razak (TAR) di sini selepas solat Asar, semalam.
Mereka dinikahkan Penolong Pendaftar Nikah yang juga imam masjid itu, Mohamad Khairi Hussein dengan diwalikan abang sulung Maya, Harris Faizal Ruslee, 38, disaksikan keluarga kedua-dua pihak.
Pada majlis itu, Maya menerima mas kahwin RM80 tetapi pengantin baru itu merahsiakan wang hantaran diterimanya. Selain itu Maya turut menerima tujuh barangan hantaran daripada Reza berbalas sembilan.
Sebelum melangsungkan pernikahan, Maya dan Reza sempat bertunang pada 4 Jun lalu di kediaman keluarga artis itu di Desa Pandan.
Mereka akan mengadakan majlis persandingan pada Oktober ini di kampung Maya di Batu Pahat, Johor dan juga di ibu kota untuk majlis sambut menantu.
Ketika ditemui selepas majlis pernikahan itu, Maya berkata dia lega kerana segala urusan pernikahan berjalan lancar selepas enam tahun menyulam kasih.
“Sepatutnya majlis pernikahan ini diadakan tahun lalu tetapi kerana ibu Reza sakit dan meninggalkan dunia pada Disember lalu, ia terpaksa ditangguhkan. Walaupun arwah tidak sempat melihat majlis pernikahan kami, saya bersyukur dapat berkenal mesra dengannya dan sempat belajar masak makanan kesukaan Reza,” katanya.
“Kini saya lega sudah bergelar isteri kerana kawan karib ramai sudah berkahwin dan mempunyai anak termasuk Ieda Moin dan Nadia Mustapha. Mereka selalu bertanya bila saya hendak naik pelamin. Alhamdulillah, kini saya sudah menjadi isteri orang dan mengharapkan rumah tangga yang dibina ini berkekalan sehingga akhir hayat.
“Memang tiada perkara yang sempurna dalam hidup ini tapi saya harap kami berdua saling melengkapi. Jika saya tak begitu kisah sangat dengan sesuatu perkara itu tapi Reza pula sangat teliti. Moga rumah tangga kami rukun damai dan menerima diri masing-masing seadanya,” katanya yang mengharapkan kehadiran sepasang cahaya mata.
Tambahnya, walaupun Reza mengizinkannya aktif dalam bidang seni, namun sebagai isteri dia perlu tahu menjaga batasan dan Maya akan mengehadkan aktiviti lakonan demi kebahagiaan bersama.
No comments:
Post a Comment