ALOR STAR: Disebabkan tidak puas hati hanya memperoleh 50 sen selepas memeras ugut rakan sekelas, seorang murid tahun satu sanggup bertindak ganas dengan menoreh buah zakar rakannya dengan sebilah pisau lipat di sebuah sekolah kebangsaan di bandar raya ini, tengah hari kelmarin.
Dalam kejadian jam 1 tengah hari, mangsa, Muhammad Amir Amri, 7, mengalami pendarahan teruk selepas diserang rakannya berikutan luka sepanjang tiga sentimeter pada buah zakarnya akibat torehan pisau lipat berkenaan. Difahamkan, kejadian buli itu bermula ketika mangsa di kantin untuk membeli makanan, tetapi dia enggan menyerahkan wang sakunya selepas diminta pembuli yang juga rakan sekelasnya.
Muhammad Amir berkata, dia ditumbuk beberapa kali di muka selepas enggan menyerahkan wang sakunya sebelum rakannya berlari ke kelas untuk mengambil kotak penselnya yang disangka mengandungi wang.
Katanya, dia kemudian turut berlari sama ke kelas berikutan bimbang kehilangan kotak penselnya dan ketika dalam kelas, rakannya itu bertindak lebih ganas dengan menyeluk poket seluarnya untuk mengambil baki wang.
“Ketika di kantin, dia (pembuli) minta duit tapi adik (Muhammad Amir) cuba halang dengan menutup poket seluar. Selepas itu dia berlari ke kelas dan adik ikut sama ke kelas kerana dia mengugut mahu ambil kotak pensel adik.
“Dalam kelas, dia seluk poket dan ambil baki duit adik 50 sen. Kemudian dia tanggal seluar adik dan ambil pisau lipat kecil dan toreh buah zakar adik. “Masa itu adik tak berani nak melawan kerana badannya besar,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Bendahara, semalam.
Sementara itu, bapa mangsa, Amri Rod @ Jamil, 41, berkata sebaik tiba di kantin sekolah untuk mengambil anaknya kira-kira jam 1.15 tengah hari, dia melihat anaknya berada di bawah meja kantin sambil memegang kelangkang seperti menahan kesakitan.
Menurutnya, selepas melakukan pemeriksaan, dia terkejut mendapati seluar anaknya berlumuran darah dan ada kesan luka agak dalam pada buah zakar anak keduanya itu.
“Saya terus membawa anak berjumpa guru kelasnya untuk meminta penjelasan sebelum diminta ke pejabat sekolah untuk berjumpa guru besar.
“Beberapa orang guru termasuk guru disiplin berjumpa saya di situ dan mereka tidak menyedari kejadian itu kerana anak saya tidak melaporkannya.
“Ibu kepada murid yang membuli anak saya yang secara kebetulan berada di sekolah turut dipanggil untuk memberi penjelasan, namun selepas didesak, murid itu masih enggan mengaku dia bertanggungjawab terhadap tindakan itu manakala ibunya hanya mendiamkan diri,” katanya.
Amri yang berniaga ikan berkata, seorang guru menawarkan diri membawa anaknya ke klinik tetapi doktor di klinik itu tidak berani menerima pesakit berkenaan kerana luka yang dialami anaknya agak serius.
Susulan kejadian itu, Amri berkata, dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Star di sini, kira-kira jam 7 malam kelmarin kerana tidak puas hati dengan tindakan ibu rakan sekelas anaknya itu yang seperti tidak menghormati keluarganya.
Menurutnya, dia juga kesal dengan tindakan ibu rakan anaknya itu yang langsung tidak menziarahi atau meminta maaf ketika berjumpa di sekolah selepas dipanggil guru disiplin.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pelajaran Kedah, Shahidan Abdul Rahman, ketika dihubungi berkata, beliau belum menerima laporan mengenai kejadian buli itu kerana sedang mengikuti kursus di ibu negara.
Macam2 sekarang nih, time aku dulu susah nak jumpa kes macam ni.. Minta dijauhkan dari anak2 aku dari perangai begini.. Amin..
No comments:
Post a Comment