Saturday, March 13, 2010

Seorang perempuan yang telah selesai melahirkan anak mempunyai kewajipan tertentu iaitu mandi kerana beranak (wiladah) dan mandi kerana nifas.

Para ulama telah ijmak mengatakan bahawa wajib mandi dengan sebab keluar darah nifas. Termasuk di dalam perkara yang mewajibkan mandi ialah wiladah iaitu mandi kerana beranak, sekalipun melahirkan tanpa basah (darah).

Begitu juga bagi perempuan yang mengalami keguguran anak, tidak terkecuali daripada kewajipan mandi, sama ada keguguran itu hanya berupa darah beku (‘alaqah) ataupun hanya berbentuk seketul daging (mudhghah).

Bagi sebilangan perempuan yang terpaksa menjalani pembedahan perut untuk mengeluarkan anak, maka dikategorikan hal yang sedemikian itu sebagai wiladah maka wajib ke atas perempuan tersebut melakukan mandi.

Perlu diingat, mandi kerana beranak dan mandi kerana nifas mempunyai perbezaan. Bagi mengelak kekeliruan, maka darah nifas ialah darah yang keluar dari rahim perempuan selepas melahirkan anak sekalipun hanya setitik. Bermulanya darah nifas itu keluar sebelum berlalu lima belas hari setelah seseorang perempuan melahirkan anak.

Andai kata darah itu tidak keluar melainkan setelah berlalu masa selama lima belas hari atau lebih, maka darah yang keluar itu tidak dikatakan sebagai nifas tetapi ia merupakan darah haidh. Maka dalam hal ini perempuan tersebut diwajibkan mandi kerana nifas.

Manakala mandi kerana wiladah ialah apabila seorang perempuan itu melahirkan anak atau mengalami keguguran anak sekalipun hanya berupa darah beku (‘alaqah) atau hanya berbentuk seketul daging (mudhghah).

Maka wajib bagi perempuan itu mandi kerana beranak (wiladah) setelah berlakunya kelahiran atau keguguran sebagaimana disebutkan.Maka apabila seorang perempuan telah melahirkan anak, dia wajib mandi kerana beranak (wiladah) dan wajib juga ke atasnya mandi nifas setelah berhenti darahnya atau habis tempoh masa yang sederhana iaitu empat puluh hari empat puluh malam atau masa paling maksima selama enam puloh hari enam puloh malam.

Sayugia diperingatkan bahawa adalah wajib bagi seorang perempuan itu mengetahui hukum-hukum berkaitan dengan mandi wiladah dan mandi kerana nifas, dan wajarlah bagi suami yang mengetahuinya mengajarkan hukum-hukum tersebut kepada isteri masing-masing.


MENGURUS TEMBUNI/ URI

Mengikut Kamus Dewan tembuni atau uri ialah sampul tian atau uri yang bersambung dengan tali pusat yang keluar sesudah bayi dilahirkan. Ia juga disebut tebuni oleh sebilangan orang tempatan.

Bagi mereka yang melahirkan anak di rumah sakit, pada kebiasaannya, tembuni diserahkan kepada pihak keluarga perempuan yang telah bersalin. Berbagai cara pengendalian tembuni yang dilakukan oleh masyarakat kita.

Pada kebiasaannya, tembuni tersebut terlebih dahulu dibersihkan. Selepas itu tembuni akan disimpan dalam bayung atau dibungkus dalam suatu bekas untuk ditanam. Ada sebahagian orang menggantungkannya di tiang atau pohon pokok dan didapati juga menyimpannya.

Selain itu ada juga orang membuangkannya ke dalam tong sampah atau menghanyutkannya di sungai-sungai.Menurut ulamak Syafi‘e anggota-anggota badan yang haram dilihat sama ada daripada anggota lelaki seperti bulu ari-ari atau daripada anggota perempuan seperti rambut dan kuku, apabila benda-benda tersebut bercerai daripada badan maka wajib benda-benda tersebut ditanam.

Maka tembuni atau uri selepas bersalin itu tidak wajib ditanam kerana ia bukan daripada anggota badan. Walau bagaimanapun cara yang elok (sunat) dalam mengurus tembuni itu ialah dengan menanamnya. Sepertimana juga kuku atau rambut lelaki sunat ditanam kerana ia merupaka anggota badan yang tidak haram dilihat.

Berlainan halnya dengan rambut atau kuku, ia merupakan anggota badan yang haram dilihat oleh lelaki yang bukan mahram, maka anggota-anggota tersebut wajiblah ditanam. Oleh yang demikian sewajarnya orang Islam mengetahui adab-adab Islam dan tidak mengabaikannya kerana Islam mengajarkan umatnya dari semua sudut kehidupan termasuk menjaga kebersihan diri dan anggota tubuh badan hinggalah kebersihan rumah dan halaman.

Hal ini telah disabdakan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam maksudnya:“Sesungguhnya (Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam) bersabda: “Bersihkanlah halaman (rumah) kamu”.

(Hadis riwayat Al-Tarmizi)

No comments:

Google